JENIS - JENIS PANTUN 
Pantun terdiri 
dari banyak jenis dan bentuk. Jenis-jenisnya ialah pantun dua kerat, 
pantun empat kerat, pantun enam kerat, pantun lapan kerat dan pantun 
sepuluh kerat. Pantun yang lebih daripada empat kerat disebut juga talibun. Selain lima jenis bentuk ini, terdapat sejenis bentuk lagi yang dinamakan pantun berkait. Bentuk-bentuk pantun pula bermacam-macam. Ada pantun yang berbentuk "nasihat", "adat", "agama", "teka-teki", "jenaka" dan juga ada sesetengahnya berbentuk "peribahasa". 
Di
 samping itu, pantun juga turut mempunyai kedudukan yang istimewa dalam 
pertumbuhan serta perkembangan puisi Melayu lama. Pantun sebagai jenis 
puisi Melayu lama yang tertua dan asli amat diminati. Ini terbukti, 
pantun digunakan secara meluas dalam kegiatan-kegiatan hidup harian dan 
seni budaya masyarakat Melayu lama, seperti dalam acara permainan, 
hiburan, majlis keramaian, adat istiadat atau upacara. Justeru itu, 
pantun pantun dari segi isi atau temanya terdapat beberapa jenis. 
Antaranya yang penting tentang teka-teki, jenaka, kasih sayang, nasihat, budi, nasib, perantau, adat, kepahlawanan, peribahasa, kias ibarat dan agama.
Meskipun begitu, penentuan jenis-jenis isi atau tema tersebut bukanlah 
mutlak. Ini kerana dalam setiap jenis isi pantun itu, lazimnya terdapat 
juga isi atau persoalan lain. Penentuannya lebih dilihat pada isi yang 
menjadi latar dan dasar perkembangannya dengan isi atau persoalan lain 
yang berhubungan. 
Pantun yang isinya mengemukakan tentang "nasihat", "adat" dan "agama" pada umumnya adalah mudah dikenali serta difahami. Pantun "nasihat"
 misalnya, lebih jelas bersifat mengajar atau memberi nasihat ke arah 
melakukan sesuatu yang baik dan meninggalkan yang buruk.Walaupun 
demikian, isi tentang "adat" dan "agama"
 tidak kurang pula yang lebih serius serta mendalam persoalan isinya. 
Umapamanya, persoalan adat yang berkaitan dengan norma-norma adat, 
peraturan atau undang-undang dan persoalan agama yang berkaitan dengan 
Keesaan Allah dan balasan hari kemudian.
Pantun jenis "peribahasa"
 juga mudah dikenali, iaitu melalui penyampaian isinya menggunakan 
peribahasa-peribahasa yang begitu jelas bentuk serta susunannya. Bagi 
pantun "kias dan ibarat"
 pula, sesuai dengan namanya maka setiap isi yang disampaikan atau 
dikemukakan itu adalah bersifat kiasan, ibarat atau perbandingan. Dengan
 demikian, pernyataan isinya selalu ditemui dalam bentuk peribahasa; 
tetapi gambaran pernyataannya lebih halus, luas dan mendalam.
Pada pantun "teka-teki"
 yang memerlukan jawapan adalah merupakan satu daripada alat untuk 
menggerakkan cara berfikir secara spontan dam membina kemahiran berfikir
 dengan tepat.
Pantun "jenaka"
 yang unsur kejenakaan atau kelucuannya terhasil daripada gambaran 
keanehan dan keganjilan perlakuan itu, terdapat unsur-unsur pengajaran, 
nasihat dan sindirannya di dalamnya.
Sumber : http://nicksyam.tripod.com/jenis.htm 
Tidak ada komentar:
Posting Komentar